Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM 2010/2011

Tuesday 15 March 2011

MEMILIH PERDANA MENTERI AUSTRALIA YANG BARU.

(Rencana bertarikh 20 Ogos 2010 - Akhbar Mstar)

AUSTRALIA boleh dianggap sebagai salah sebuah negara yang masih muda. Dalam usia penemuan tidak sampai 350 tahun lalu oleh Kapten Cook, negara ini telah melangkah lebih jauh berbanding negara-negara yang lebih senior usianya.

Hidup di bawah takluk Britain untuk sekian lama, telah menjadikan sistem pemerintahan yang diamalkan di sini banyak berteraskan kepada sistem politik England. Malah, negara ini masih dianggap belum mencapai kemerdekaan mutlak sepenuhnya memandangkan masih terdapat Gabenor Jeneral yang dilantik oleh London, sebagai lambang ketua negara serta lagu kebangsaan yang sama dengan Great Britain iaitu "God Saves the Queen".

Beberapa minggu yang lalu, Perdana Menteri Julia Gillard yang menaiki 'takhta pemerintahan' secara teknikal - sekaligus menjadikannya Perdana Menteri wanita pertama Australia - telah mengumumkan pilihan raya peringkat pusat pada 21 Ogos ini.

Julia Gillard

Mengikut perlembagaan Australia, pilihan raya mestilah diadakan dalam tempoh tiga tahun selepas pilihan raya terakhir. Jadi setiap tiga tahun, 150 buah kerusi perwakilan dewan rendah ini akan dipertandingkan untuk mencari wakil-wakil rakyat yang dianggap bersesuaian mewakili penduduk-pendudk setempat di parlimen.

Pilihan raya negeri dan perbandaraan tidak diadakan secara serentak kerana tempoh matang bagi setiap negeri dan perbandaran masih lagi panjang melainkan negeri Victoria yang mesti mengadakan pilihan raya sebelum akhir bulan November nanti.

Menariknya, pilihan raya di sini tidaklah semeriah di bumi kita Malaysia. Kalau di negara kita, ia seakan-akan satu perayaan atupun pesta yang amat 'happening'.

Namun di sini, jarang sekali kita akan berjumpa dengan sebarang poster digantung ataupun papan-papan tanda besar didirikan ditepi-tepi jalan raya, menandakan musim pilihan raya sedang berlangsung.

Secara amnya, saya amat bersetuju dengan cara berkempen sebegini kerana pastinya isu kebersihan dan alam sekitar (penggunaan kertas) akan dapat ditangani dengan mudahnya. Tanpa poster ataupun papan tanda bukan menjadi penghalang bagi setiap calon meraih undi malah banyak lagi cara yang boleh dilaksanakan untuk tujuan tersebut.

TIADA LOBI UNTUK MENJADI CALON

Untuk menjadi calon pilihan raya, tiada kaedah lobi melobi dilakukan oleh bakal-bakal calon untuk mewakili parti masing-masing. Kaedah yang diamalkan di sini cukup mudah. Satu pilihan raya kecil peringkat bahagian di jalankan hampir setahun sebelum tarikh pilihan raya umum diadakan.

Pilihan raya kecil ini bukan bertujuan mencari ketua bahagian parti tapi mencari calon untuk mewakili parti dalam pilihan raya yang mendatang. Setiap orang yang ingin menjadi calon boleh berkempen secara terbuka di kalangan ahli-ahli parti di peringkat bahagian.

Siapa sahaja yang memenangi pilihan raya bahagian peringkat parti ini akan diiktiraf oleh kepimpinan tinggi parti untuk menjadi calon mereka di pilihan raya umum kelak. Secara tidak langsung, bakal calon mempunyai masa yang secukupnya untuk mengenal-pasti pengundi dan keperluan kawasan yang akan diwakili mereka.

Ironinya, wakil rakyat semasa pastinya meningkatkan kualiti kerja supaya mereka tidak terpinggir dari menjadi calon parti. Hakikatnya, pihak parti di peringkat pusat tidak mempunyai hak untuk mencampuri pemilihan calon di peringkat bahagian ini.

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA AUSTRALIA

Seperti Malaysia, pilihan raya di sini dikendalikan juga oleh sebuah badan bebas yang dikenali sebagai Australia Electoral Commission (AEC). Peranannya sama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Malaysia.

Tidak ada bezanya, melainkan beberapa aspek utama, seperti penamaan calon serta cara pengundian dijalankan sahaja yang berlainan sedikit. Penamaan calon sebenarnya bukan diadakan selepas parlimen dibubarkan. Akan tetapi sudah dilaksanakan sebulan sebelum sesuatu pilihan raya diumumkan.

Bagi pilihan raya tahun ini, penamaan calon telah ditutup pada akhir bulan Julai yang lalu. Penamaan calon juga dijalankan tanpa perlu berarak beramai-ramai diiringi dengan provokasi oral di antara penyokong-penyokong lawan ataupun kawan. Penamaan calon cukup dengan sekadar penghantar borang secara online mahupun pos, jika rasa kurang berkeyakinan, borang juga boleh diserah menerusi serahan tangan ke pejabat AEC.

Begitu mudah, menjimatkan masa serta tertib. Mungkin satu hari nanti kita juga perlu mengamalkan sistem penamaan calon yang awal serta penuh dengan tata susila ketimuran sepertimana yang diamalkan di sini.

Disamping itu kaedah pengundian di sini agak berlainan dengan Malaysia. Sebagai contoh, setiap warganegara berusia 18 tahun ke atas wajib untuk mendaftar sebagai pengundi. Kaedah pendaftaran juga amat mudah, boleh dilakukan secara talian terus. Kegagalan mendaftar boleh menyebabkan seseorang itu didenda.

Undang-undang di sini juga menetapkan, setiap pengundi wajib melaksanakan kewajipan mengundi. Jika tidak mengundi anda akan dikenakan tindakan undang-undang. Ia dianggap sebagai satu kesalahan jenayah. Walaupun dendanya tidak seberapa tetapi rekod sebagai pelanggar undang-undang akan kekal. Undang-undang ini amat menarik, kerana rational disebaliknya ialah, setiap rakyat perlu bersuara dalam mencorak masa depan sesebuah negara.

Pengundian di sini juga bukanlah dengan cara memangkah. Tetapi setiap pengundi diminta menulis nombor berdasarkan urutan yang mana yang mereka suka. Sebagai contoh jika terdapat lima calon yang bertanding, pengundi diminta menulis urutan nombor 1 sehingga 5. Jangan risau jika melakukan kesalahan, kertas undi anda boleh diganti dengan syarat kertas yang rosak dikembalikan.

Pengundi juga boleh memilih untuk mengundi secara pos dan juga boleh mengundi awal dibeberapa pusat pengundian yang ditetapkan. Kelonggaran syarat begini menyebabkan tidak ada alasan untuk setiap pengundi berdaftar untuk tidak keluar mengundi.

KEMPEN TERBUKA

Secara amnya di Australia terdapat lebih 50 buah parti politik yang berdaftar. Ada parti yang berteraskan agama seperti Australia Christian Party dan ada juga parti berdasarkan kebebasan hidup seperti Australia Sex Party dan ada juga parti yang begitu pro dengan alam sekitar seperti Green Party.

Namun disebabkan negara ini cenderung kepada konsep dua parti, maka parti Buruh (Australia Labour Party/ALP) yang diketuai oleh Julia Gillard dan Parti Gabungan diketuai oleh ketua pembangkang dari Parti Liberal, Tony Abbott dianggap sebagai parti yang mendominasi parlimen.

Tony Abbott

Hakikatnya ketika ini hanya ada tiga parti di parlimen iaitu, ALP, Parti Gabungan dan Green. Yang menariknya kedua-dua pemimpin ini bukanlah anak jati Australia, malah mereka berdua boleh dianggap golongan pendatang yang berhijrah ke Australia untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Julia Gillard merupakan seorang atheist, tidak berkahwin dan duduk serumah dengan teman lelakinya. Manakala Tony Abbott pula adalah seorang yang menganut ajaran Katolik, berkahwin dan mempunyai dua orang anak perempuan. Begitu kontras mereka berdua akan tetapi dalam etika berkempen hal yang melibatkan keperibadian seseorang akan cuba dielakkan dalam menjadi senjata pemusnah.

Ironinya, sistem berkempen di sini lebih bersifat terbuka. Mana-mana pihak, kerajaan mahupun pembangkang, boleh menggunakan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk berkempen. Sebagai contoh, sekolah, dewan orang ramai mahupun universiti boleh digunakan sebagai premis kempen malah surat khabar, radio mahupun tv bebas menyiarkan sebarang iklan yang ditaja oleh parti-parti yang bertanding.

Media massa menyiarkan liputan untuk semua parti yang bertanding tanpa memperlihatkan sebarang kecenderungan ke arah mana-mana parti. Setiap parti politik diberi peruntukan masa yang sama, tidak kira dari parti mana mereka wakili.

Bagaimanapun yang nyata ialah kesemua media boleh dikatakan memberi tumpuan terhadap dua individu yang dijangka mempunyai peluang yang lebih besar untuk menjadi perdana menteri. Disebabkan ketulusan kempen yang dijalankan, beberapa acara telah disusun agar kedua-dua pemimpin utama ini diberi ruang untuk menyuarakan aspirasi mereka.

Yang menariknya beberapa minggu lepas telah diadakan satu debat terbuka antara kedua-dua mereka. Debat ini disiarkan secara langsung oleh hampir kesemua stesen televisyen mahupun radio di Australia. Tidak cukup dengan itu setiap pemimpin dipasang alat poligraph untuk mengesan sebarang penipuan dalam berucap.Hebat!

Mungkinkah ahli politik Malaysia sanggup berbuat begini? Bagi saya kaedah ini amat berpatutan, pilihan raya adalah medan untuk memilih pemimpin yang akan mengetuai sesebuah negara. Masa depan negara tidak boleh diserahkan kepada sebarang orang. Hanya orang yang berwibawa, ikhlas dan bersemangat sahaja yang akan menerajui negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.

JANJI-JANJI PILIHAN RAYA

Sepanjang kempen dijalankan begitu banyak janji yang ditaburkan oleh parti-parti yang menyertai pilihan raya kali ini. Setiap janji yang dikemukakan oleh kerajaan dijadikan kayu pengukur terhadap kemampuan mentadbir negara. Kalau dilihat secara menyeluruh akan janji-janji yang ditaburkan oleh pihak kerajaan mahupun lawan, boleh dikatakan negara ini merupakan sebuah negara kebajikan.

Banyak subsidi yang ditaburkan untuk kesejahteraan rakyat. Namun begitu, walaupun banyak wang yang disalurkan, Australia tidak mengalami defisit seperti negara-negara lain di dunia ini. Antara subsidi yang dijanjikan kali ini ialah subsidi pakaian sekolah, penggunaan internet, gaji penuh bagi suami/isteri yang mengambil cuti bersalin, suami akan memperolehi tiga minggu cuti bersalin (bagi menjaga isteri), subsidi pendidikan ke peringkat tinggi, subsidi pembelian kereta baru, peningkatan pembayaran pencen, subsidi pengguna LPG kereta, rebat penggunaan tenaga solar serta subsidi bantuan kewangan untuk setiap warga Australia yang memerlukan.

Ini tidak termasuk lagi dengan janji-janji peningkatan infrastruktur yang sedia ada, seperti hospital, sekolah dan prasarana pengangkutan. Saya bukanlah seorang pakar ekonomi, tetapi dengan janji-janji begini, sudah pasti ramai juga yang teruja. Kerana itu jugalah, Australia mengalami masalah kemasukan pendatang secara berluasa disebabkan terpengaruh dengan janji-janji ini.

KESIMPULAN

Pilihan raya merupakan satu kaedah untuk mencari wakil rakyat ke parlimen. Parlimen pula adalah satu tempat untuk melaksanakan polisi untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Jadi untuk memilih pemimpin, rakyat seharusnya diberi kebebasan mutlak untuk membuat keputusan. Dalam membuat keputusan, maklumat amatlah didambakan. Maka peranan media massa yang tidak prejudis amatlah penting. Laporan yang tepat tanpa ada sebarang ketidak-adilan merupakan satu etika kewartawanan yang dituntut.

Tanggungjawab pengundi pula ialah untuk mencerap dan mencernakan semua informasi yang ada sebelum membuat sebarang keputusan. Keputusan anda yang akan menentukan corak masa depan negara. Kesilapan mengundi bukan sahaja akan menyebabkan negara musnah bahkan menganiaya generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment